Jumaat, Disember 17, 2010

Kerjaya Dalam Bidang Sains Nuklear


  • SAINS nuklear adalah satu cabang ilmu yang mengkhususkan kajian untuk memanfaatkan sinaran yang terbit daripada nukleas radioaktif dan juga sinaran lain seperti sinar x dan alur elektron.
  • Pendidikan sains nuklear memberi tumpuan kepada aspek teknologi dan gunaan di samping memperkukuhkan ilmu sains tulen. Ia bertujuan melengkapkan pelajar dengan ilmu yang berkaitan dengan penggunaan teknik-teknik nuklear dalam bidang-bidang pertanian, perubatan, industri, alam sekitar dan sains asas.
  • Bagi membolehkan pelajar mempraktikkan ilmu yang dipelajari, program latihan industri diatur untuk setiap pelajar semasa cuti semester di sektor industri yang berkaitan, institusi penyelidikan dan hospital.
  • Dari segi peluang kerjaya, lulusan bidang ini tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan pekerjaan kerana tenaga dan kepakaran mereka diperlukan sama ada disektor awam dan swasta.Antara jawatan yang boleh disandang termasuklah jurutera kawalan mutu, penyelidik, pegawai kawalan alam sekitar, perunding, pegawai ujian tanpa musnah (NDT) pegawai saintis serta pegawai-pegawai di syarikat perindustrian.
  • Mereka juga boleh berkhidmat di bidang industri rawatan sisa radioaktif, radiografi, perubatan serta institusi pengajian tinggi yang masih memerlukan tenaga mahir di bidang yang berkaitan teknologi sinaran.
  • Pelajar yang berminat dalam bidang ini mestilah lulus cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan kelulusan yang baik dalam mata pelajaran-mata pelajaran Sains dan Matematik.Bagi lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mereka perlu mengikuti program Matrikulasi selama satu hingga satu setengah tahun sebelum diterima masuk ke program peringkat sarjana muda.
  • Bagi lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pula mereka boleh terus memasuki tahun pertama dengan kelulusan yang baik dalam mata pelajaran Matematik dan juga subjek-subjek Sains yang berkaitan.
  • Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) adalah satu-satunya universiti menawarkan pengajian dalam bidang ini.
Sumber:estidotmy